mutakhir

Buat laporan polis

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

ORANG ramai yang membayar wang untuk menyelesaikan saman atau kes lain selepas terpedaya dengan panggilan kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya diminta membuat laporan polis dengan segera.

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, setakat ini tiada seorang pun mangsa membuat laporan berkenaan penipuan itu biarpun pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai kesahihannya.

"Kes ini berlarutan sejak dua bulan lalu dan dalam sehari, 200 panggilan telefon diterima tetapi tiada sesiapa mengadu ditipu.

"Justeru, kita tidak dapat mengesan sindiket ini misalnya, untuk menjejaki mereka melalui nombor akaun bank selain tidak ada maklumat berapa ramai ditipu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ibadah korban IPD Putrajaya, hari ini.

Dalam kenyataan pada 13 Ogos lalu, beliau meminta orang ramai tidak terpedaya dengan panggilan kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang menyuruh memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menyelesaikan saman atau kes lain.

IPD Putrajaya turut menerima panggilan telefon daripada orang ramai bertanya sama ada kenderaan mereka terbabit dalam kes kesalahan trafik dan langgar lari.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 4:54pm
d