mutakhir

Tiba di Makkah selepas melontar jamrah [METROTV]

Oleh Nasharuddin Muhammad

JEMAAH haji Malaysia tiba di Makkah secara berperingkat, hari ini selepas selesai bermalam dan menyempurnakan ibadat melontar jamrah di Mina.

Di Makkah, mereka akan melengkapkan rukun haji iaitu tawaf dan saei, seterusnya bertahalul kali kedua.

Ketika di Mina, jemaah melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah diikuti ketiga-tiga jamrah - Sughra, Wusto dan Kubra pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Manakala, bagi jemaah yang berniat Nafar Awal, selepas melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah, mereka hanya melontar selama dua hari pada 11 dan 12 Zulhijjah.

Selepas melengkapkan tawaf dan saei haji, lengkaplah manasik haji mereka.

Bagi jemaah yang akan ke Madinah, mereka akan mula bertolak ke kota kedua paling suci umat Islam itu mulai esok secara berperingkat.

Bagi mereka yang akan terus pulang ke tanah air, penerbangan pertama akan bertolak mulai Rabu secara berperingkat melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah.

Kumpulan jemaah terbabit dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada Khamis.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 7:18pm
d