mutakhir

Letak logo TH dengan lebih jelas

Oleh  Nasharuddin Muhammad

LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan meletakkan logonya dengan lebih jelas di semua bangunan hotel yang dipajak di Tanah Suci dalam tempoh terdekat.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ia sebahagian langkah strategik TH untuk mendedahkan jenamanya kepada masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, selama ini masyarakat antarabangsa sudah mengenali TH sebagai organisasi contoh dalam pengurusan haji.

Katanya, langkah terbaru itu juga bagi memudahkan jemaah haji Malaysia mengenali bangunan hotel penginapan TH di Tanah Suci ketika menginap nanti.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas majlis memeterai perjanjian pelanjutan pajakan Hotel Al-Haram dan Hotel Al-Saha Madinah dengan pemiliknya, Al-Rawda Investment for Real Estate Development & Projects Management Limited (Al-Rawda) di sini.

Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada majlis itu, TH diwakili Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman manakala Al-Rawda diwakili Pengerusinya, Dr Mashoor Ali Al-Madodi.

Hadir sama beberapa menteri dan timbalan menteri; Ahli-ahli Lembaga Pengarah TH serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah.

Abdul Azeez berkata, tempoh lanjutan untuk kedua-dua hotel berkenaan yang terletak hanya 100 meter dari Masjid Nabawi bagi tempoh 10 tahun lagi sehingga 2027.

Menurutnya, Hotel Al-Haram yang berstatus lima bintang mempunyai 606 bilik yang mampu memuatkan jemaah seramai 12,120 orang dalam empat pusingan.

Katanya, Hotel Al-Saha yang berstatus empat bintang pula mempunyai 227 bilik yang mampu memuatkan 3,004 jemaah dalam empat pusingan.

Menurutnya, perjanjian itu memberi kesan positif kepada TH kerana ia membolehkan kos penginapan haji dibuat pada kadar yang tetap bagi setiap musim haji.

 

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 2:42am
d