mutakhir

Alhamdulillah, siap lebih awal

OPERASI membawa semua jemaah haji Malaysia dari Mina ke Makkah selepas selesai melontar jamrah siap lebih awal.

Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, operasi membawa jemaah terbabit bermula jam 6.59 pagi waktu tempatan (11.59 pagi Malaysia) dan selesai dalam tempoh kurang sebelas jam.

Menurutnya, di peringkat awal, pihaknya menjangkakan proses terakhir operasi masya'ir itu hanya selesai sekitar jam 8 atau 9 malam berikutan pertambahan bilangan jemaah.

Katanya, kejayaan operasi masya'ir itu hasil komitmen dan pengorbanan tinggi semua petugas melalui kerjasama berpasukan sehingga dipermudahkan Allah.

"Dengan ini, saya mengisytiharkan operasi masya'ir iaitu kemuncak operasi haji pada musim haji kali ini tamat sepenuhnya.

"Bagaimanapun, operasi haji masih belum selesai sehingga 4 Oktober nanti," katanya ketika berucap pada majlis ringkas di ibu pejabat TH di sini dan disiarkan secara terus kepada petugas di lapangan melalui sistem Bravo.

Beliau berkata, secara keseluruhan, 600 perjalanan bas bagi membawa semua jemaah terbabit dengan bas terakhir tiba di Makkah dari Mina pada jam 6 petang.

Menurutnya, pada musim haji ini juga, kali pertama jemaah warga emas selepas wukuf di Arafah terus dibawa ke Makkah, tidak lagi ke Mina seperti sebelum ini.

Katanya, bagi safari wukuf pula, seramai 86 jemaah yang sakit dibawa ke Arafah dengan enam bas dan tiga ambulans.

"Mereka ini dapat berwukuf di Arafah untuk tempoh sekurang-kurangnya dua jam," katanya.

 

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 3:43am
d