mutakhir

Pelantikan keputusan kerajaan

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Pelantikan Ketua Polis Negara (KPN) yang baru, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, 58, adalah keputusan kerajaan yang dibuat menerusi Suruhanjaya Pasukan Polis.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, suruhanjaya itu juga bersetuju mengekalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sebagai Timbalan KPN.

“Jawatan (Noor Rashid) bagaimanapun dinaikkan ke Turus III dan Suruhanjaya turut memutuskan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baru,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas KPN di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Mohamad Fuzi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Khalid adalah seorang yang ‘luar biasa’ kerana sifat kesetiaannya yang tidak pernah luntur walau dalam apa jua situasi.

Menurut beliau, Khalid juga berjaya menyelesaikan segala permasalahan dengan amalan profesionalisme sepanjang menjalankan tanggungjawabnya.

“Apabila saya mengarahkan Ops Cantas Khas dibuat sewaktu mula-mula saya diberi tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri, ia dijayakan tanpa persoalan oleh beliau (Khalid) sendiri.

“Saya telah arahkan tiga pasukan elit diwujudkan iaitu Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gangsterisme (STAGG) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang mana arahan datang daripada saya kepada Tan Sri Khalid dan ia dilaksanakan bagi menangani semua permasalahan berbeza terus ke sasaran dan tidak melalui hirarki,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan ketiga-tiga pasukan elit itu telah menurunkan indeks kadar jenayah kepada 47 peratus secara metodologi konvensional atau 100 peratus jika menggunakan piawaian antarabangsa berdasarkan setiap 100,000 penduduk.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 5:24am
d