mutakhir

Perkukuh Unit Counter Terrorrism

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Unit Counter Terrorrism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperkukuhkan dengan pembukaan 343 penjawatan baru bagi meneruskan aktiviti mengekang keganasan dan ekstremis di negara ini.

Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, biarpun sudah bergelar KPN, mengekang kegiatan ekstremis dan keganasan tetap akan diteruskan.

“Apa yang dirancang sebelum ini akan diteruskan dan ditambah baik. Malah kerajaan sudah meluluskan 343 penjawatan baru dalam unit ini,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas KPN di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) semalam.

Mengulas mengenai pelantikan beliau sebagai KPN, Mohamad Fuzi berkata, dia agak terkejut dengan pelantikan itu dan hanya mengetahuinya pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia bersedia untuk menjawat jawatan itu walaupun tanggungjawabnya amat besar kerana dia menguruskan 10 jabatan di bawah PDRM.

Mohamad Fuzi yang berpengalaman selama 33 tahun dalam PDRM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Antropologi dan Sosiologi.

Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan dalam PDRM seperti Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Taiping, Perak serta Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

Pada 2014, Mohamad Fuzi memangku jawatan Timbalan KPN selama beberapa bulan berikutan penyandangnya, Tan Sri Mohd Bakri Zinin yang bersara wajib.

Selepas itu, beliau menjawat jawatan Pengarah Pengurusan PDRM seterusnya dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman berkuat kuasa Julai 2015.

Mohamad Fuzi menyertai PDRM pada 8 Januari 1984 sebagai Kadet Asisten Superintendan.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 5:26am
d