mutakhir

Tiga inisiatif baru

Datuk Seri Najib Razak berkata, bagi inisiatif pertama kerajaan bersetuju meluluskan Projek Taman Tugu seluas 26.4 hektar dijadikan pegangan badan amanah dan dirizabkan sebagai taman hutan hujan untuk selamanya di bawah Amanah Warisan Negara.

Menurutnya, untuk inisiatif kedua, kawasan tambahan seluas 10 hektar bersebelahan tapak Projek Taman Tugu akan turut diletakkan di bawah Amanah Warisan Negara menjadikan jumlah keluasan keseluruhan Taman Tugu kepada 36.4 hektar.

Katanya, sekiranya Taman Tugu digabungkan dengan Taman Botani Perdana bersebelahannya, ia menjadikan jumlah keseluruhan taman hijau sebanyak 132.4 hektar.

“Justeru, Malaysia akan memiliki taman hijau di tengah ibu kota seperti bandar raya terkemuka seperti di London, New York dan Tokyo.

“Inisiatif ketiga adalah memastikan kawasan hijau lain di seluruh negara turut diletakkan di bawah Amanah Warisan Negara.

“Ini bagi mengekalkan kehijauan dan melindungi hutan hujan untuk generasi anak cucu kita pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Amanah Warisan Taman Tugu, di sini, semalam.

Hadir sama bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar.

Najib kemudian menyempurnakan penanaman sepohon pokok Belian, yang terkenal di Sarawak, sebagai acara simbolik pelaksanaan projek membangunkan kawasan hutan itu.

Projek pembangunan Taman Tugu adalah sebahagian projek dibangunkan Khazanah Nasional untuk memberi nafas baru dan menambah nilai kepada tapak sejarah negara, bermula September tahun lalu.

Ia terbahagi kepada empat segmen iaitu keluarga dan komuniti, pembelajaran dan pendidikan, aktiviti luar serta tapak bersejarah yang dijangka siap secara berperingkat antara 2018 dan 2020.

Kos projek pembangunan di Taman Tugu dan Dataran Muzium dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1.1 bilion dengan Khazanah Nasional membiayai RM730 juta daripada kosnya.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 5:30am
d