mutakhir

Lelaki hilang dalam hutan ketika berburu

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: Seorang lelaki dari Perkampungan Orang Asli Lumut, Lenggeng, di sini, hilang selepas keluar memburu binatang di Hutan Ulu Beranang, di sini, sejak 29 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, Dol Katiau, 43, keluar dari rumahnya jam 8 pagi dan memasuki hutan berhampiran.

Katanya, dia kali terakhir dilihat memakai kemeja-T, berseluar panjang dan membawa peralatan berburu seperti sumpit, pisau, lampu suluh dan beg sandang.

“Sejak pemergiannya, lelaki itu tidak pulang ke rumah sebelum kejadian dan disedari adiknya, Jali, 29, yang membuat laporan di Balai Polis Lenggeng, di sini, pada 23 Ogos lalu,” katanya.

Mohd Faisal berkata, bertindak atas laporan diterima, pihaknya menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 33 anggota polis, bomba dan penduduk kampung.

“Sehingga kini lelaki itu gagal ditemui dan kehilangannya melebihi sebulan,” katanya mempercayai lelaki itu hilang dalam hutan.

Menurut Mohd Faisal, secara kebiasaan Dol memasuki hutan selama empat atau lima hari dan mendiami pondok dibinanya.

“Pihak polis difahamkan lelaki itu berpengetahuan mengenai selok-belok hutan kerana pekerjaannya memburu binatang. Kehilangannya menjadi misteri,” katanya.

Katanya lagi, pasukan SAR dibahagikan kepada tiga kumpulan dan pencarian diteruskan setiap hari.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 6:06am
d