mutakhir

Bekalan air beransur pulih

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SEMUA 126,171 akaun pengguna syarikat bekalan air SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) di Johor Bahru dan Kulai akan memperoleh bekalan secara berperingkat selepas Loji Rawatan Air (LRA), Semanggar di Kota Tinggi memulakan operasinya bermula 3 pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, LRA berkenaan beroperasi seperti biasa selepas bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terputus sejak 4.20 petang kelmarin dibaiki.

"Susulan itu, beberapa kawasan di Johor Bahru iaitu Kempas, Tampoi, sebahagian Skudai, kawasan Iskandar Puteri dan Gelang Patah selain di Kulai serta Senai yang mengalami gangguan bekalan air akan memperoleh bekalan secara berperingkat.

"Ia membabitkan 126,171 akaun pengguna dan dijangka bekalan pulih dalam tempoh 48 jam bermula 3 pagi tadi ," katanya dihubungi hari ini.

Hasni sebelum ini memaklumkan gangguan bekalan air berlaku selepas LRA Semanggar berhenti operasi akibat bekalan TNB terputus sejak petang kelmarin.

Bagi menangani masalah itu, TNB menghantar dua unit set generator di Semanggar dan Kampung Semanggar Dalam sehingga usaha baik pulih tenaga elektrik itu dilakukan.

Katanya, memandangkan LRA berkenaan jauh, maka penyaluran bekalan air itu mengambil sedikit masa, namun beransur pulih selepas bekalan tenaga elektrik diterima.

Mereka yang terbabit boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian mesra SAJ Info Centre di 1800 88 7474 atau hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 019-7727474.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 11:49am
d