mutakhir

Semoga cuaca baik hari ini

Oleh Azahar Hashim

TUJUH belas keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Kecil Ulu, selepas rumah mereka di Kampung Sungai Tepus, Bandar Baharu dilanda banjir kilat, Ahad lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, kejadian banjir kilat di kampung itu membabitkan lebih 200 mangsa.

"Sehingga 7 pagi tadi kira-kira 17 keluarga membabitkan 66 orang masih berada di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Kecil Ulu.

"Jika keadaan cuaca baik seperti semalam pusat ini akan ditutup selepas tengah hari nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, pusat pemindahan sementara itu dicadangkan ditutup hari ini sekiranya keadaan cuaca baik.

Katanya, keputusan akan dibuat oleh jawatankuasa bencana yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Bandar Baharu.

"Difahamkan kerja mencuci rumah mangsa sudah dilakukan oleh sukarelawan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu dengan kerjasama anggota APM sejak kelmarin dan disambung hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 12:01pm
d