mutakhir

Dua Yamaha 125Z kena kebas

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

RUMAH pengasas produk kecantikan Dnars dipecah masuk menyebabkan kehilangan dua motosikal jenis Yamaha 125Z kejadian di Pasir Pekan, Tumpat, hari ini.

Dalam kejadian 3.48 pagi itu, tiga lelaki termasuk seorang berkaki tempang memecah masuk pekarangan rumah Faziani Rohban Ahmad, 38, dengan memotong rantai pagar rumah.

Menurut Faziani, kejadian itu disedari adiknya, Mohd Faizan pada 5 pagi ketika dia mahu ke tempat kerjanya di Gua Musang.

"Ketika adik mahu ke tempat kerja, dia menyedari motosikal miliknya dan anak saya yang diletakkan di hadapan rumah hilang.

"Sebaik memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami dapati rumah dipecah masuk oleh tiga lelaki manakala seorang lagi menunggu di dalam Proton Waja warna perak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Pasir Pekan, hari ini.

Katanya, tidak sampai 10 minit mereka melarikan dua motosikal.

"Kerugian dianggarkan berjumlah RM22,000 kerana motosikal terbabit keluaran edisi terhad," katanya.

Sementara itu, Mohd Faizan berkata, ketika mahu ke tempat kerja di pejabat Kesihatan Gua Musang, dia menyedari pintu pagar rumahnya terbuka.

"Mulanya saya pelik, namun sebaik melihat hanya ada dua daripada empat motosikal yang diparkir, barulah saya tahu rumah dipecah masuk.

"Kami sudah membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Bharu," katanya.

Katanya, pihaknya juga menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada orang ramai yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah terbabit.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 12:42pm
d