mutakhir

Enam wanita tawan puncak tertinggi Eropah

Oleh Nursyahirah Marzuki

ENAM pendaki wanita yang menyertai pendakian di puncak tertinggi Eropah iaitu Gunung Elbrus, Russia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 selamat tiba di tanah air, tengah hari ini.

Cabaran pendakian yang dikenali sebagai misi Kembara Srikandi Prihatin (KSP) itu anjuran Persatuan Kembara Negara (PKN), yang juga inisiatif Program Negaraku, Pejabat Perdana Menteri dengan sokongan Pergerakan Puteri UMNO.

Presiden PKN Tan Sri Khalid Yunus berkata, pihaknya berbangga diatas pencapaian kesemua pendaki yang berjaya menyempurnakan misi mengibarkan Jalur Gemilang dipuncak.

"Walaupun hanya seorang yang berjaya naik ke puncak namun, kita tetap bangga dengan mereka yang lain kerana berjaya mengharungi pelbagai cabaran terutama dengan keadaan cuaca buruk.

"Oleh itu, persatuan berhasrat untuk menjadikan kembara ini dianjurkan setiap tahun sempena sambutan kemerdekaan negara di mana-mana puncak seluruh dunia," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Misi berkenaan diketuai oleh Ummu Farah Haidar Zulkifli, 30, selain bekas pesakit kanser, Rene'e Aziz Ahmad, 56; Nurul Huda Shamsuddin, 31; Nir Azmin Adnan, 34; Fazilah Abd Manan, 41, dan wartawan HM, Fairul Asmaini Mohd Pilus, 35.

Kepulangan mereka itu turut disambut Timbalan Menteri pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, keluarga dan rakan.

Khalid berkata, beliau akan berbincang dengan pihak terbabit termasuk wakil daripada Pejabat Perdana Menteri untuk menjadikan hasrat berkenaan tercapai.

"Selepas itu, kita akan mula merancang dan memilih gunung yang akan didaki bagi memastikan gunung berkenaan sesuai dengan kemampuan pendaki.

"Kita akan beri keutamaan kepada enam wanita ini untuk menyertai aktiviti pendakian ini namun mereka perlu menunjukkan keyakinan dan kemampuan mereka," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, pendakian enam wanita itu adalah hadiah kepada diri mereka dan rakyat Malaysia kerana berjaya mengibarkan Jalur Gemilang walaupun berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak stabil.

"Tahniah dan syabas kepada semua pendaki yang berjaya mencipta kenangan dan pengalaman mereka untuk sampai ke puncak adalah ilmu yang mahal dan bernilai," katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 3:21pm
d