mutakhir

Kaji semula skim gaji PDRM

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa kerajaan mengkaji semula skim gaji anggota dan pegawai polis sebagai usaha untuk membendung gejala rasuah serta salah guna kuasa.

Dalam kenyataan media hari ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, cadangan itu satu langkah penting bagi mengelakkan anggota dan pegawai agensi penguatkuasa, khususnya polis terjerumus ke dalam jenayah rasuah.

"Sudah tiba masanya bagi pihak kerajaan secara serius melihat dan mengkaji semula skim gaji serta kebajikan anggota dan pegawai agensi-agensi penguatkuasa di Malaysia khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai salah satu langkah penting bagi mengelakkan anggota dan pegawai agensi-agensi penguatkuasa terjerumus ke dalam kancah rasuah dan salah guna kuasa," katanya di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Dzulkifli mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa, semalam.

Beliau berkata, Mohamad Fuzi mampu membawa pembaharuan ke arah menjadikan PDRM sebagai agensi penguatkuasaan yang lebih cemerlang dan terulung di negara ini selain memastikan pasukan itu bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"SPRM juga percaya beliau akan memikul tanggungjawab yang sudah diamanahkan dengan bebas, berani dan berintegriti.

"Malah, SPRM turut yakin ia dapat memperkasa lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak yang sedia terjalin dalam usaha membanteras jenayah di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 4:47pm
d