mutakhir

Cedera bertembung trak tentera

Oleh D J Dolasoh

DUA anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) cedera termasuk seorang parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah trak tentera di Kilometer 16.8 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, malam tadi.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, pemandu Honda Ferio, Mohd Norsyakirudin Hashim cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Penumpang, Mohd Azwan Kelana pula cedera di kaki dan dirawat di Hospital Gerik.

Mereka bertugas di Markas Tentera Udara Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kelantan.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, kereta mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan dan berpusing sebelum merempuh trak askar dari arah bertentangan.

“Trak yang dipandu Jalius Malainus bersama 11 penumpang dari Markas Tentera Darat Kementerian Pertahanan Kuala Lumpur secara konvoi itu gagal mengelak dan bertembung.

"Akibat kemalangan itu, bahagian depan kereta rosak teruk dan trak terbabit rosak di sebelah kanan," katanya hari ini.

Ismail berkata, kejadian berlaku ketika hujan dan di kawasan selekoh.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 5:57pm
d