mutakhir

Didakwa miliki tiga pistol tiruan

Oleh Adha Ghazali

SEORANG pekerja kontrak menampal jubin dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas tiga pertuduhan iaitu memiliki pistol, peluru dan tiga pistol tiruan.

Ooi Seng Han, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu ketika ia dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rusita Md Lazim dan meminta dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Ooi didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki sepucuk pistol semi automatik 9mm jenis Desert Eagles buatan Israel di Jalan Alor Redis, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi pada 23 Ogos lalu.

Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki satu kelopak berisi empat peluru pada waktu dan di lokasi sama.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amir Johari dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Ooi turut didakwa memiliki tiga pistol tiruan dengan satu kelopak kosong yang didakwa dilakukannya di Taman Muhibah Fasa 2 di Jejawi, dekat sini kira-kira jam 11.30 malam pada hari yang sama.

Pendakwaan kes ini dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan balistik dan lantikan peguam oleh tertuduh.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 6:14pm
d