mutakhir

3,800 rumah terjejas bekalan air

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SEBANYAK 3,800 rumah di sekitar kawasan Kuala Nerus mengalami masalah gangguan bekalan air berikutan berlaku kerosakan pada muka sauk di Tangki Air Serada, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) Ir Atemin Sulong berkata, sebanyak enam kawasan iaitu Bukit Cempaka, Bukit Wan, Lingai, Bukit Nenas, Pagar Ubi, Padang Hangus selain sebahagian besar kawasan Tepoh terjejas dengan masalah itu.

"Gangguan itu berlaku bermula jam 8 pagi hari ini dengan tekanan air yang rendah dan sebahagian besar akan terputus bekalan, kerosakan itu sedang dibaik pulih.

"Penghantaran air melalui lori tangki juga dijalankan terutama membabitkan kawasan yang kritikal," katanya hari ini.

Atemin berkata, dia berharap pengguna yang terjejas dengan masalah itu dapat bersabar dan membuat persiapan termasuk berjimat dan menyimpan air selain turut melaporkan kepada SATU sekiranya berlaku kebocoran paip awam.

"Usaha membaik pulih masalah teknikal itu sedang giat dijalankan dan ia akan beransur pulih secara berperingkat," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi SATU di talian 1-300-882-111.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 6:35pm
d