mutakhir

Mahukan proses urbanisasi di luar bandar

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

KEWUJUDAN universiti di luar bandar bukti kerajaan mahu proses urbanisasi berlangsung di kawasan berkenaan, seiring perkembangan pesat bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi universiti, kawasan pedalaman dapat dimajukan terutama dalam melahirkan cendiakawan dan intelektual berkualiti untuk masa depan negara.

"Seperti di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini, kenapa kita bangunkan tiga kampusnya di Kota Bharu, Bachok dan Jeli kerana kita mahu bawa urbanisasi di luar bandar juga, walaupun negeri tidak diperintah parti yang sama (dengan Pusat).

"Kita mahukan kemajuan seimbang dicapai bandar dan luar bandar. Itu yang diberikan tumpuan, ini jugalah komitmen dan iltizam Kerajaan Pusat," katanya dalam ucapan di UMK Kampus Jeli, petang ini.

Beliau hadir pada Majlis Timbalan Perdana Menteri Bersama Mahasiswa UMK yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli.

Turut hadir, Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Dr Ahmad Zahid berkata, komitmen itu bukan hanya berbentuk janji, sebaliknya akujanji yang diterjemahkan dalam pembangunan fizikal dan melahirkan modal insan berkualiti.

"Kita mahu lahirkan ramai intektual di kampus luar bandar seperti Jeli ini yang mana kita ada penuntut dalam bidang sains dan teknologi.

"Pengimbangan urbanisasi luar bandar dan bandar bukan hanya diisi dengan akademik tapi pembangunan aset (modal insan) untuk negara," katanya.

UMK merekodkan 9,287 penuntut pada 2017, manakala 1,849 penuntut baru berdaftar hari ini.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 7:14pm
d