mutakhir

Ditinggal depan klinik lepas ditetak

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI parah di kepala serta luka di lengan dan kaki selepas ditetak menggunakan senjata tajam di tepi jalan besar Kampung Gong Badang, Alor Lintang, Besut pagi ini.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa berusia 31 tahun yang tidak sedarkan diri selepas diserang ditinggalkan suspek di hadapan Klinik Gong Medang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama anak lelakinya berusia tiga tahun dalam perjalanan pulang dari kedai runcitnya di Alor Lintang ke rumah mereka di Taman Desa Gong Badang, Alor Lintang.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Honda Jazz dinaiki dua beranak itu ditahan dua kenderaan pacuan empat roda sebelum mangsa diserang.

"Mangsa dikatakan sempat menghubungi anggota Balai Polis Kampung Raja dan memaklumkan dia diserang sebelum anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bergegas ke lokasi kejadian.

"Dalam kejadian itu, mangsa ditinggalkan di hadapan Klinik Gong Medang bersama kenderaannya manakala suspek meninggalkan anak lelaki mangsa di rumah adik ipar mangsa di Padang Luas, dekat Besut.

"Mangsa yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dihantar ke Hospital Besut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Mohd Zamri berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif serangan namun tidak menolak kemungkinan kejadian dipercayai berpunca daripada dendam atau hutang.

Katanya, pihaknya sedang mengenal pasti jenis senjata yang digunakan dan jumlah sebenar suspek dengan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan Seksyen 363 KK kerana menculik.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diharapkan dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 8:38pm
d