mutakhir

TPM kunjungi pesakit kronik, asnaf

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Siti Nor Hidayatidayu Razali

Jeli: Tiga pesakit kronik dan 22 asnaf di daerah ini menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir ke rumah mereka dan menyampaikan sumbangan.

Muhammad Hasan, 61, Nik Esah Tuan Draman, 64, masing-masing menghidap angin ahmar dan Azizah Samad, 59, yang mengalami ketumbuhan di leher kanan menerima bantuan wang tunai dan lain-lain keperluan.

Muhammad yang mempunyai 10 anak berkata, sejak diserang angin ahmar empat tahun lalu, dia terlantar dan tidak mampu berjalan.

Katanya, dia kini diurus isterinya, Wan Rohanizah Wan Yaakob, 59, kerana tidak mampu bergerak.

“Saya bersyukur kerana doa selama ini dimakbulkan Allah SWT apabila dapat berjumpa dengan pemimpin tertinggi negara,” katanya ketika ditemui di Kampung Wakaf Zing, Ayer Lanas, semalam.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kem Rejimen Sempadan Batu 11, Tanah Merah sejauh 20 kilometer ke rumah asnaf yang diiringi 600 motosikal dari Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) dan ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 4:43am
d