mutakhir

Kan dah kena...

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Tindakan dua warga asing memelihara lembu di ibu kota membawa padah apabila haiwan ternakan itu dirampas penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ternakan itu dirampas hasil operasi dilakukan DBKL di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara Selayang , di sini, kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 10 pagi itu, pasukan penguatkuasa DBKL merampas dua ekor lembu yang diikat di belakang sebuah bangunan bank di lokasi itu.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusof, berkata, operasi itu dilakukan susulan tular di media sosial memaklumkan kegiatan warga asing memelihara lembu di kawasan itu secara haram.

Katanya, tindakan pemilik haiwan itu membuatkan kawasan itu dicemari dengan najis haiwan berkenaan.

“Susulan itu, DBKL menyita dua lembu itu yang dipelihara di lokasi itu.

“Pemilik diarahkan berhenti memelihara lembu di lokasi berkenaan dan mereka diarah membersihkan kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ibrahim berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

“JKAS membuat pemantauan semula di lokasi bermasalah bagi memastikan tiada lagi saki baki lembu yang belum disembelih dipelihara di kawasan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Dalam kes viral sebelum ini, beberapa warga asing Bangladesh didapati menyembelih lembu di atas jalan raya berhampiran Jalan Pudu di sini.

Tindakan itu mencetus rasa kurang senang masyarakat tempatan berikutan ia dilakukan di lokasi tidak sewajarnya selain mengambil kira faktor kebersihan.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 5:17am
d