mutakhir

Cita-cita hampir terkubur

Oleh Aizat Sharif

Sintok: Walaupun menghadapi kesukaran berjalan, ia bukan penghalang kepada gadis orang kurang upaya (OKU), Nur Syiham Naz’izan, 20, mengejar cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Anak sulung daripada empat beradik yang mendapat keputusan baik dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Petani itu, kini melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Awam.

Nur Syiham mengalami kecacatan pada buku lali kanan akibat barah sel tulang belakang pada 2008 menyebabkan dia hilang upaya berjalan dengan sempurna.

“Ketidakupayaan fizikal pada diri bukan penghalang untuk meneruskan cita-cita saya melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Apabila menerima tawaran daripada UUM, saya gembira serta teruja dan peluang ini tidak akan sekali-kali saya lepaskan,” katanya ditemui pada sesi pendaftaran pelajar baru semester pertama Sesi Akademik 2017/2018 di Inapan Siswa (INASIS) Petronas, UUM, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika bersekolah dulu, dia tidak dapat aktif dalam kokurikulum atas keterbatasan fizikal dan hanya menumpukan kepada kegiatan tertentu serta pelajaran saja.

“Saya disahkan menghidap barah pada 2008 ketika tahun lima di Sekolah Kebangsaan Tasik Puteri, Rawang dan hanya menjalani pembedahan setahun selepas itu.

“Sebelum pembedahan, saya terpaksa melalui proses kimoterapi yang sangat menyakitkan hingga saya memikirkan cita-cita untuk menjadi guru terkubur.

“Berkat kesabaran, usaha dan doa, saya akhirnya sembuh walaupun buku lali kaki terjejas akibat penyakit itu,” katanya yang ditemani bapanya, Naz’izan Saad, 46.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 5:25am
d