mutakhir

Padah angkut rokok seludup

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BURUH dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM530,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengangkut 3,300 karton rokok seludup menggunakan sebuah van jenis Toyota Hiace.

Tan Kok Seng, 53, dari Kuantan, Pahang turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengangkut barang larangan kastam iaitu 50 karton rokok jenama John White W3 dan 50 karton rokok jenama John F1 yang ditaksirkan bernilai RM52,800 dengan menggunakan sebuah van jenis Toyota Hiace.

Semua rokok berkenaan adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 dengan niat untuk mengelak larangan terhadap barang berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kelantan, Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus, pada 1 pagi, 13 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Md Safrizal Mohd Safian manakala tertuduh diwakili peguam, Liow Boon Lee.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 1:21pm
d