mutakhir

8 penagih dadah kantoi

Oleh Safuri Kamarudin

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Baling memberkas lapan penagih dadah tegar dalam serbuan di kebun getah di Kampung Pisang, Baling, hari ini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Baling, Arnida Ishak berkata, kebun getah itu dijadikan 'port' penagihan kerana kawasannya amat strategik dan mempunyai laluan yang banyak untuk melarikan diri apabila serbuan dilakukan.

Beliau berkata, serbuan dilancarkan kira-kira 6 pagi dan berakhir pada 8 pagi hasil maklumat dan risikan dilakukan pihaknya.

"Port penagihan dadah itu aktif dan mempunyai sebuah pondok yang menjadi tumpuan penagih dalam dan luar kawasan.

"Lima anggota AADK yang diketuai oleh Syafiza Hasan mengambil langkah untuk masuk awal ke port dan menunggu kehadiran penagih penagih tegar ini bagi tujuan melepaskan gian.

"Hasilnya kita berjaya menahan lapan penagih dadah berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya dalam kenyataan di Baling, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan ada beberapa penagih cuba melarikan diri dengan motosikal, namun pihak AADK menutup setiap laluan keluar dengan rapi.

"Semua yang ditahan mempunyai latar belakang yang berbeza serta dibawa ke pejabat AADK Daerah Baling untuk siasatan lanjut.

"Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mengutip barang terbuang untuk dijual bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah," katanya.

Arnida berkata, hasil ujian saringan air kencing semua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

"Kita siasat mengikut Seksyen 😔1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 dan semua mereka akan direman di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat sebelum dituduh di mahkamah.

"Pihak kami berikrar terus menjalankan operasi mengesan penagih dadah yang masih engkar tampil kehadapan bagi mendapatkan rawatan pemulihan dadah yang disediakan AADK.

"Kita memfokuskan kepada pemulihan penagih penagih dadah yang masih enggan tampil dengan cara mengesan mereka walaupun mereka tidak keluar dari rumah," katanya.

Beliau menegaskan pihaknya juga mempunyai mata dan telinga yang menjadi sumber rujukan bagi memerangi dadah habis-habisan dan membantu keluarga yang menghadapi masalah dengan anak mereka serta masyarakat.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 1:41pm
d