mutakhir

Dengar afidavit 5 Oktober ini [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

MAHKAMAH Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini, menetapkan 5 Oktober nanti untuk pendengaran afidavit jawapan daripada isteri pertama bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan, 72.

Ia susulan keingkaran Datin Seri Che Ezatul Hamsiah Hussein, 60-an, mematuhi perintah mahkamah yang membenarkan isteri kedua yang juga pemohon, Sharifah Shahrul Bariah Syed Mokhtar, 59, melawat suami mereka.

Berikutan itu, Sharifah Shahrul Bariah memfailkan permohonan komital terhadap Che Ezatul dan lima anaknya selepas dibenarkan mahkamah pada 21 Julai lalu.

Pemohon menamakan madu dan lima anaknya sebagai responden untuk memberikan tunjuk sebab mengapa mereka ingkar terhadap perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 24 Mei lalu.

Pada prosiding di hadapan Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim hari ini, peguam syarie, Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili Che Ezatul memohon mahkamah memberi masa kepada anak guamnya menjawab notis itu melalui afidavit bertulis.

Mahkamah kemudian membuat penetapan tarikh itu selepas berpuas hati dengan hujah kedua-dua pihak termasuk peguam syarie, Rozanahah Juisin yang mewakili Sharifah Shahrul Bariah.

Terdahulu, Zuri memberitahu mahkamah yang anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat sementara Sharifah Shahrul Bariah hadir bersama dua anak hasil perkongsian hidup dengan Abdullah Fadzil iaitu Syadil Che Wan, 26 dan Desya Che Wan, 21.

Mengikut fakta kes, pada 24 Mei lalu, mahkamah memutuskan yang perkahwinan pemohon dan Abdullah Fadzil yang berlangsung pada 9 Februari 1991 adalah sah menurut hukum syarak.

Justeru mahkamah memerintahkan pemohon diberikan kebebasan dan hak giliran untuk melawat dan menziarahi responden pada masa-masa yang sesuai dan munasabah tanpa ada apa-apa halangan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Rozanahah berkata, anak guamnya yang gagal berhubung dan bertemu dengan suaminya itu sejak hampir dua tahun lalu selain dinafikan hak walaupun perintah mahkamah sudah dikeluarkan.

"Mereka (responden) tidak hadir ke mahkamah hari ini untuk menjawab kepada mahkamah mengapa mereka tidak mematuhi perintah yang memberikan hak kepada anak guam saya untuk mengambil suaminya iaitu hak giliran bermalam sebagai isteri.

"Jadi kami failkan notis komital selepas dibenarkan mahkamah pada 21 Julai lalu atas tindakan mereka itu. Sepatutnya mereka datang ke mahkamah dan terangkan mengapa tetapi sebaliknya mereka meminta kebenaran untuk memasukkan penerangan itu dalam afidavit," katanya.

Abdullah Fadzil disahkan menghidapi penyakit ‘Mixed Dementia of Alzheimer and Multi-infarct’ yang menjadikan beliau tidak berupaya untuk membuat sebarang keputusan terhadap isu-isu peribadi dan profesional sejak 2013.

Beliau pernah dilaporkan hilang pada 11 pagi, 27 September 2015 di Bukit Tunku sebelum ditemui oleh anaknya di kawasan pangsapuri di ibu negara, 7.45 malam hari yang sama.

Sejak itu, beliau tinggal bersama Che Ezatul dan tidak pernah bertemu dengan pemohon termasuk dua anak yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 3:27pm
d