mutakhir

[UPDATE LEMAS DUNGUN] Ujian DNA bagi kenal pasti mangsa

Oleh Rosli Ilham

TIGA ahli keluarga termasuk anak kepada Mohamad Zawawi Mohamed, 27, nelayan yang hilang selepas botnya terbalik di Kuala Dungun pada 2 Ogos lalu, sudah menjalani ujian darah hari ini bagi membantu mengenal pasti mayat lelaki yang ditemui terapung di perairan Rompin minggu lalu.

Pegawai perubatan di Hospital Rompin sudah mengambil darah tiga ahli keluarganya termasuk anaknya, Nor Intan Rania, 3; bapanya, Mohamed Yaccob, 75, dan kakak, Norhayati, 30, untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kira-kira jam 3 petang hari ini.

Mereka itu bersama tujuh lagi ahli keluarga nelayan terbabit, Mohamad Zawawi Mohamed, 27, termasuk isterinya, Mimi Sharmila Che Hussain, 22, ke hospital berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi dengan ditemani Ketua Balai Polis Dungun Asisten Superintendan Kamarul Mohamed Salleh.

Menurut Mimi Sharmila, dia sendiri tidak dapat membuat pengecaman terhadap mayat yang ditemui polis itu.

"Saya sendiri tidak dapat membuat pengecaman kerana mayat itu sudah tinggal tengkorak dan daripada pakaian yang dipakainya pula bukan milik suami saya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mimi berkata, sebagai jalan penyelesaian untuk memastikan sama ada mayat yang ditemui polis di perairan Rompin itu adalah suami atau sebaliknya menyebabkan mereka bersetuju untuk membuat ujian DNA.

Kesemua mereka diminta hadir ke hospital berkenaan bagi membuat pengecaman berikutan penemuan mayat lelaki yang ditemui hampir tinggal rangka dan berpakaian lengkap di perairan kawasan itu minggu lalu.

Mayat berkenaan ditemui nelayan kira-kira 30 batu nautika dari Pantai Hiburan, Rompin lengkap berpakaian seluar denim dan berbaju merah tertera nombor 68.

Mimi Sharmila berkata, selain ahli keluarganya turut hadir ialah beberapa rakan nelayan suaminya yang turut serta membuat pengecaman terhadap mayat yang dipercayai suaminya di Unit Forensik hospital terbabit.

"Kami dimaklumkan keputusan darah itu mengambil masa kira-kira sebulan dan apa juga keputusannya nanti saya akan terima dengan reda.

"Sekiranya benar mayat yang ditemui polis itu adalah suami saya, jenazah itu akan pulang ke Kampung Dalam Rhu, Pasir Putih, Kelantan untuk dikebumikan," katanya.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, empat nelayan hilang selepas bot yang dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak.

Mayat seorang daripada mereka, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pada jam 8.50 pagi dua hari kemudian.

Selain Mohamad Zawawi, dua lagi nelayan yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Seorang lagi nelayan yang turut berada di dalam bot ketika kejadian yang juga adik Allahyarham Mohd Nazri, Mohd Shazrin, 33, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke daratan.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 5:21pm
d