mutakhir

Alhamdulillah, sudah sedar...

Oleh Aizat Sharif

SEORANG daripada dua mangsa kebakaran tujuh rumah kedai di Kampung Bandar, Mukim Siong, Baling Isnin lalu, Mohd Nazri Ismail, 40 yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas kejadian itu sudah mulai sedar daripada koma hari ini.

Perkara itu disahkan oleh adiknya, Kamaliah Ismail, 32 selepas dihubungi Harian Metro hari ini yang menyatakan abangnya sudah mula membuka mata dan menggerakkan anggota badan sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Menurut doktor, dia sudah mulai sedar pada jam 12.30 tengah hari selepas dua hari tidak sedarkan diri sehingga terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Dia pun sudah boleh bercakap-cakap walaupun masih lemah lagi dan doktor menasihatkan dia supaya banyakkan berehat dan tidak terlalu melalukan pergerakkan demi untuk penyembuhannya,” katanya kepada Harian Metro.

Kamaliah berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan perubahan yang ditunjukkan oleh abangnya itu.

“Namun begitu, kecederaan melecur akibat kebakaran itu di bahagian kepala dan tangan kiri masih lagi berbalut dan dia juga turut tidak dibenarkan untuk menerima sebarang pelawat kerana masih lagi berada dalam pemantauan rapi doktor.

“Apa pun kami tetap bersyukur dengan perubahan positif yang ditunjukkan oleh abang saya dan saya mengharapkan dia segera sembuh,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, dua kedai makan, tiga kedai runcit, kedai perkakasan dan kedai menjual barangan RM2 serta dua kediaman membabitkan 50 penghuni musnah 90 peratus dalam kebakaran.

Malah, kejadian itu juga mengakibatkan Mohd Nazri koma kerana melecur teruk di bahagian kepala dan tangan kiri manakala isterinya, Salawati Romli, 39 turut mengalami cedera di tangan kanan dan kiri serta terseliuh kaki kanan ketika cuba membawa anak mereka keluar dari rumah.

Mohd Nazri dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut manakala Salawati pula dirawat di Hospital Baling.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 5:46pm
d