mutakhir

Dah lima kali kena pecah [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TABUNG derma Masjid Muhsinin Darulaman Height, Bandar Darulaman, Jitra, menjadi sasaran mudah pencuri apabila lima kes pecah tabung dilaporkan berlaku setakat ini mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

Difahamkan kejadian terbaru berlaku seminggu sebelum Aidiladha lalu apabila video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai seorang lelaki memecahkan tabung masjid itu dan melarikan sejumlah wang tular di laman sosial.

Penolong Setiausaha masjid, Nik Ahmad Zakil Nik Hamid, 49, berkata, berikutan kerap berlaku kecurian tabung derma, jemaah masjid bersepakat mewujudkan kumpulan sembang melalui aplikasi WhatsApp khusus bagi memantau jenayah itu.

Katanya, mereka kemudian memasang 'perangkap' untuk mengesan suspek sekitar 12 tengah malam pada 12 Ogos lalu dan menahan seorang daripada dua lelaki yang disyaki cuba mencuri duit tabung berkenaan.

"Kami berjaya menahan seorang remaja berusia 15 tahun yang juga calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Namun rakannya melarikan diri," katanya ketika ditemui di masjid itu, hari ini.

Nik Ahmad Zakil berkata, bagaimanapun kejadian sama berlaku sekali lagi pada 26 Ogos lalu, pada 6.30 petang apabila satu daripada tabung wakaf untuk sekolah agama di masjid itu dikopak dan wangnya dicuri.

Katanya, imej pencuri itu berjaya dirakam CCTV dalam masjid sebelum tular di media sosial sejak kelmarin.

"Video berdurasi satu minit 39 saat itu menunjukkan lelaki terbabit sedang mengumpil satu daripada tabung wakaf di masjid ini sebelum beredar selepas mengambil wang.

"Kami pun tak tahu mengenai video yang tular itu kerana ia disebar melalui WhatsApp kumpulan dan imej lelaki yang dirakam itu dipercayai orang luar.

"Pencuri terbabit mensasarkan tabung wakaf dan tabung masjid ini kerana setiap minggu kutipan banyak iaitu sekitar RM3,000 hingga RM4,000 lebih," katanya.

Menurutnya, berikutan kerap berlaku kes pecah tabung, pengurusan masjid bertindak mengutip duit daripada tujuh tabung dan disimpan di tempat selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan penahanan remaja berusia 15 tahun terbabit pada 12 Ogos lalu sebelum dibebaskan sehari kemudian dengan jaminan polis.

Katanya, suspek dibebaskan selepas keterangannya diambil kerana remaja itu bakal menduduki peperiksaan PT3.

"Namun, setakat ini pihak kami masih belum menerima laporan berhubung video terbaru yang ditular di laman sosial.

"Berikutan itu, saya meminta kerjasama orang ramai yang ternampak kelibat lelaki berkopiah seperti dalam rakaman video itu supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan," katanya dihubungi hari ini.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 6:57pm
d