mutakhir

Penghargaan untuk malim gunung

Oleh Amniera Naziera Amran

SERAMAI 135 malim gunung dan ahli keluarga mereka diberi tajaan biasiswa bernilai RM900,000 oleh Almacrest International College bagi menghargai pengorbanan mereka dalam mencari dan menyelamat pendaki kanak-kanak warga Singapura yang terkandas di gunung Kinabalu ketika gempa bumi di Ranau, 5 Jun 2015 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Unit Pengurusan Almacrest International College Stephanie Yen Chung Wai berkata, tajaan biasiswa dan pengiktirafan itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej itu selain menghargai pengorbanan malim gunung.

"Seramai 131 daripada 135 keluarga malim gunung menerima biasiswa sebanyak RM6,000 setiap seorang manakala empat keluarga menerima biasiswa penuh bernilai RM20,000 setiap satu kepada keluarga malim gunung yang terkorban dalam tragedi itu.

"Semua tajaan berjumlah kira-kira RM900,000 dan sumbangan itu dianggap sebagai CSR bagi menyanjung tinggi peranan dan pengorbanan malim gunung dalam mencari dan menyelamat pendaki kanak- kanak Singapura yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu dalam kejadian gempa bumi dua tahun lalu.

"Malim gunung yang terbabit dalam operasi itu sudah mempertaruhkan nyawa mereka demi membantu menyelamatkan pendaki yang terkandas dan membawa turun mereka yang cedera dan pihaknya merasa terhutang budi.

"Mereka sudah melaksanakan tugas yang amat penting dalam usaha menyelamat ramai pendaki yang terkandas di laluan yang terhalang oleh bongkahan batu itu," katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan sumbangan kepada malim gunung di Wisma Tun Mustapha, Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dalam usaha pencarian, terutamanya malim gunung yang banyak berkorban bagi membantu mangsa gempa bumi.

Sementara itu, Pengerusi Malim Gunung Kota Kinabalu,Junaydie Sihan, 40, berkata, pengiktirafan menerusi tajaan biasiswa itu memberinya peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dalam bidang pelancongan yang ditawarkan oleh kolej berkenaan.

"Memang tidak dinafikan saya dan malim gunung yang lain masih trauma dengan kejadian itu dan sentiasa mengambil langkah berjaga- jaga kerana tidak menginginkannya berulang lagi.

"Kami bersyukur dengan pengiktirafan ini kerana sekurang- kurangnya walaupun malim gunung yang sudah berusia tidak mampu meneruskan pelajaran namun boleh memberikan peluang kepada ahli keluarga terdekat," katanya.

Junaydie berkata, tawaran itu peluang keemasan yang tidak akan dilepaskannya kerana inilah peluang yang dinantikannya.

Tragedi gempa bumi berukuran5.9 skala Richter pada 5 Jun 2015 mengegarkan Sabah sehingga meragut 18 nyawa serta mengakibatkan kerosakan harta benda di kawasan terjejas bencana, terutama di Ranau.

Daripada 18 mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, sembilan daripadanya adalah warga Singapura, enam warga Malaysia, seorang masing-masing dari Jepun dan China manakala seorang merupakan warga Filipina yang menjadi residen tetap di Singapura.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 7:57pm
d