mutakhir

Triton VGT AT GL masuk Malaysia

Oleh Lizam Ridzuan

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) pengedar rasmi kenderaan jenama Mitsubishi di negara ini memperkenalkan varian baru trak pikap Trition VGT AT GL di Kuala Lumpur, hari ini.

Model yang diasaskan daripada model VGT AT itu ditawarkan buat pembeli yang mahukan sebuah pikap mampu milik untuk kegunaan harian menjadikan tujuhpilihan varian Triton yang ada dalam pasaran ketika ini.

Antara ciri terkini pada model terbaru itu ialah sistem Audio 2-Din, pilihan pacuan empat roda (4WD) dan kawalan suhu automatik serta gril hadapan gelap, tangga sisi dan roda aloi bersaiz 16 inci.

Model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand itu dikuasakan dengan enjin 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan teknologi Pemasaan Injap Boleh Ubah menjana kuasa kuda 181 PS dan daya tork sehingga 430 Nm dengan Turbo Geometri Boleh Ubah (VGT).

Trition VGT AT GL dijual pada harga bermula RM103,888 dengan lima tahun waranti atau 200,000 kilometer (km) yang mana lebih awal.

Untuk melihat model ini dengan lebih dekat boleh berkunjung ke roadshows Mitsubishi Motors yang diadakan pada 19 hingga 24 September 2017 di Aeon Tebrau City, Johor Bahru dan 27 September hingga 1 Oktober 2017 di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 8:02pm
d