mutakhir

Lelaki maut rempuh bas

Oleh Farah Suhaidah Othman

LELAKI maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya merempuh sebuah bas di Jalan Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, Muhammad Sukri Abdul Salim, 26, maut di lokasi kejadian manakala pemandu bas berusia 35 tahun dan seorang penumpang wanita berusia 52 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati bas dalam perjalanan dari arah perhentian bas Felcra Changkat Lada menghala ke perhentian bas Teluk Intan.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba kereta dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan memasuki ke laluan bas berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Myvi cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang bas tidak cedera," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 9:24pm
d