mutakhir

Martabat terumbang-ambing

Oleh Mahaizura Abd Malik

Bangi: Selepas 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu masih dilihat terumbang-ambing berikutan kesalahan penggunaan bahasa singkatan dan rojak yang berleluasa.

Kebimbangan itu disuarakan tiga panel Wacana Cendikiawan Bertajuk 60 Tahun Merdeka: Bahasa Melayu-Aper Benda Lagi Tuw? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Penyandang Kursi Pengajian Melayu Beijing Foreign Studies University Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, kemerdekaaan perlu dilihat secara holistik termasuk pemikiran, nilai, pendidikan dan bahasa.

“Kalau kita melihat kemerdekaan hanya sudut politik dan ekonomi saja, itu belum betul-betul merdeka, contohnya dalam konteks dasar bahasa pendidikan kebangsaan sesudah 60 tahun, bahasa kita masih terumbang-ambing, ada ketikanya pasang surut kerana tidak konsisten kita melaksanakannya sedangkan kita sudah ada dasar dan peraturan termasuk Perlembagaan Perkara 152.

“Dalam berbahasa kita perlu tahu ada rasmi dan tidak rasmi, kalau kita salah guna bahasa dalam konteks yang salah itu tidak beradab.

“Ini semua perlu dibudayakan di peringkat pendidikan serta gerakan sosial supaya kita dapat memperkasakan bahasa ibunda kita,” katanya selepas wacana berkenaan.

Dua lagi panel membincangkan isu berkenaan ialah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) Datuk Zainal Abidin Borhan dan Presiden Persatuan Penterjemahan Malaysia Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan.

Sementara itu, Dr Abdullah berkata, beliau kecewa dengan sikap pensyarah dan pelajar asing yang sudah lama berada di negara ini, tetapi masih tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.

“Bagi saya tidak keterlaluan jika kita membuat syarat supaya mereka perlu bertutur dalam bahasa Melayu kerana perkara ini turut dikuatkuasakan di Denmark, Sweden dan Finland,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 4:21am
d