mutakhir

22 kali dibedah

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Enam belas tahun hidup melawan ketumbuhan yang dihidapi di hidung dan sudah 22 kali menjalani pembedahan tidak langsung mematahkan semangat seorang pemuda untuk mengejar cita-citanya menjadi pengurus bank.

Malah, Muhamad Rafizan Amran, 20, baru mendaftar sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, di sini, kelmarin dan menghadiri minggu suai kenal, semalam.

Berasal dari Pontian, Johor, Muhamad Rafizan berkata, masalah kesihatan bukan penghalang utama, sebaliknya dianggap pembakar semangat untuk dia terus berjuang meneruskan kehidupan dan berjaya seperti yang diimpikan selama ini.

“Saya juga mahu berjaya dan membalas jasa ibu bapa yang selama ini bersusah payah untuk saya memandangkan ibu hanya suri rumah dan ayah pula berniaga menjual pisang goreng.

“Apabila saya lulus dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta diterima ke UMK, mereka berdualah orang paling gembira.

“Saya berazam belajar bersungguh-sungguh dan tidak mahu hampakan kedua-duanya hanya kerana saya berpenyakit dan perlu sentiasa jaga kesihatan,” katanya ketika ditemui pada Minggu Mesra Mahasiswa UMK Sesi 2017/2018, semalam.

Seramai 1,060 penuntut baru hadir pada majlis itu dan mendengar amanat disampaikan Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Menurut Muhamad Rafizan, dia mula mengalami masalah kesihatan pada usia empat tahun apabila mata kiri kabur dan sukar melihat sebelum dibawa berjumpa pakar dan dimaklumkan mempunyai ketumbuhan dalam hidung.

“Semakin lama mata kiri semakin kabur teruk dan mengelak ia lebih serius, pembedahan dibuat untuk membuang ketumbuhan itu. Sehingga kini sudah 22 pembedahan sama ada kecil atau besar dilakukan.

“Setiap enam bulan, saya perlu berjumpa pakar mata, hidung dan telinga di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Dr Mortaza berkata, seramai 1,853 penuntut baru mendaftar untuk sesi pengambilan 2017/2018 membabitkan 1,060 di Kampus Kota, Pengkalan Chepa, 449 penuntut di Kampus Bachok dan 343 penuntut lagi di Kampus Jeli.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 4:34am
d