mutakhir

Taman rekreasi sarang ular

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kawasan rekreasi di pesisiran Sungai Kedah di Jalan Kampung Tanjung Bendahara, di sini, dilihat tidak terurus sehingga menjadi seperti ‘taman ular’ bagi penduduk dan pengunjung di situ.

Menurut penduduk, Saidin Osman, 72, rumput dan lalang yang tumbuh liar di kawasan itu mengundang bahaya kepada 200 penduduk kampung yang menggunakan jalan di pesisiran sungai itu sebagai laluan utama.

Malah, katanya, ia turut digunakan pelajar sebagai laluan pintas ke tiga sekolah berhampiran kampung itu.

“Walaupun ada lampu jalan, tidak semua berfungsi dan kami bimbang ada penduduk atau pengunjung yang lalu lalang di sini menjadi mangsa haiwan berbisa.

“Sebagai orang lama, saya beberapa kali terserempak ular tedung dan sawa, kali terakhir melihat kawasan itu diselenggara dua tahun lalu,” katanya.

Bagi pemancing, Zulkifli Hassan, 39, kawasan sungai di situ pernah menjadi lubuk ikan patin dan kaloi sehingga menjadi tumpuan kaki pancing dari daerah terbabit.

“Sayangnya disebabkan kawasan ini tidak terjaga dan terlalu semak, ramai pemancing berpindah ke tempat lebih selamat kecuali beberapa pemancing setia.

“Ular dan biawak kerap kami jumpa, petang semalam (kelmarin) baru saya terserempak anak ular sawa, malah di bumbung pondok tepi sungai ini juga jadi tempat ular melingkar,” katanya yang berasal dari Jalan Dato Kumbar, di sini.

Pengunjung, Azizan Din,58, berkata, kawasan itu berpotensi dibangunkan sebagai tarikan pelancong berikutan ia mempunyai pemandangan menarik selain jambatan kereta api lama serta rumah penduduk.

“Saya berasal dari kampung seberang sungai ini iaitu Kampung Nibong Kapal, pesisiran ini sangat cantik, malah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga membina pondok, tempat duduk dan laluan pejalan kaki sebagai tempat beriadah.

“Malangnya sejak 10 tahun lalu, ia diselenggara beberapa kali sahaja oleh kontraktor. Hanya orang yang biasa dengan tempat ini berani meredah rumput panjang sehingga hampir paras lutut.

“Kami harap pihak berkaitan segera menyelenggara kawasan ini supaya ia kekal terpelihara dan menggamit lebih ramai pengunjung,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 4:37am
d