mutakhir

Buta hati lipat baju

Oleh Norizuan Shamsuddin

Gombak: “Saya pelik mengapa lelaki itu tidak menunjukkan usaha mahu membantu. Malah dia dilihat selamba melipat baju yang dikeluarkan dari mesin dobi,” ujar seorang nitizen berhubung viral kejadian rompakan di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Sri Gombak, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian rompakan membabitkan tiga suspek lelaki bersenjatakan parang menjadi perdebatan ramai apabila seorang pelanggan lelaki dilihat seolah-olah tidak terkejut dengan kejadian itu.

Suspek dikatakan merompak wanita yang juga pengarah syarikat yang kebetulan berada di dalam premis itu menyebabkan mangsa kerugian RM15,000.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa yang berusia 45 tahun berada di premis itu bersama suami dan anak mereka yang berumur sembilan tahun.

“Tiga lelaki tiba-tiba muncul dan mengacukan parang terhadap mangsa. Penjenayah memaksa mangsa menyerahkan wang dan barangan berharga sebelum melarikan diri.

“Kejadian menyebabkan mangsa cedera di jari tangan. Dia melaporkan perkara itu di Balai Polis Gombak, jam 1.08 pagi, Sabtu lalu,” katanya.

Rakaman insiden kejadian itu yang menjadi tular mencetuskan tanda tanya apabila seorang pelanggan lelaki dilihat tidak menghiraukan rompakan yang berlaku.

Malah lelaki terbabit terus melipat pakaian yang dikeringkan menggunakan mesin di kedai dobi itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian rompakan itu.

“Suspek melarikan melarikan telefon pintar, wang tunai, barangan kemas serta dokumen pengenalan diri.

“Kami masih memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 5:18am
d