mutakhir

Rawatan fisioterapi murah di rumah

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Hasil jualan makanan ketika bergelar penuntut digunakan Abdul Hafiz Faizal Abdul Rahman, 25, bagi menjalankan perkhidmatan rawatan fisioterapi dari rumah ke rumah.

Kata pemegang Diploma Fisioterapi Kolej Universiti KPJ Healthcare itu, berbekalkan modal RM3,000 dia membeli peralatan seperti ultrasound, tens dan hotpad untuk memulakan perniagaan itu sejak 2014.

Abdul Hafiz berkata, dia mengenakan caj RM60 hingga RM120 untuk setiap sesi khusus dalam membantu golongan kurang berkemampuan sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang, Johor menjalani rawatan fisioterapi.

“Bayaran ini sangat murah berbanding dikenakan klinik atau hospital swasta lain. Saya simpati dengan individu khususnya golongan susah yang memerlukan rawatan fisioterapi, tetapi tidak mampu membayar sehingga ratusan atau ribuan ringgit setiap sesi.

“Perkhidmatan rawatan fisioterapi ini antara alternatif lain bagi mereka yang mahu membayar mengikut kemampuan, selain tidak perlu ke hospital,” katanya.

Anak kelahiran Johor Bahru ini berkata, dia juga tidak mengenakan caj tambahan seperti kos pengangkutan, perjalanan dan makan minum.

“Semuanya percuma. Bayaran dikenakan hanya untuk rawatan semata-mata. Buat masa ini, saya juga mengembangkan perniagaan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Seremban dan Putrajaya.

“Malah, dengan bantuan sahabat baik iaitu Mohamad Aqwa Faiq dan rakan lain, kami juga memberi rawatan kepada pesakit tulang belakang, strok, trauma kerana kecederaan akibat kemalangan, sakit lutut dan sakit tua serta terkini sedut kahak bayi.

“Selain itu, setiap kali cuti panjang, saya ke kawasan pedalaman dan membantu orang kampung menjalani rawatan fisioterapi dengan bayaran seikhlas hati,” katanya.

Paling menarik, Abdul Hafiz berkata, dia juga menjadi ahli fisioterapi tetap untuk seorang kenamaan berusia 96 tahun di Johor yang dijaga sejak empat tahun lalu dan bayaran dikenakan hanya RM100 untuk sesi selama dua jam.

“Memang seronok menjalankan perkhidmatan ini. Pengalaman mengurut individu yang mengalami sakit belakang juga menjadi pemangkin saya meneruskan usaha ini.

“Sekarang, saya juga seorang ahli fisioterapi untuk pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 5:22am
d