mutakhir

Reda harung 6 kali bedah

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Usianya baru lima tahun namun sejak disahkan menghidap ketumbuhan dalam kepala, Jun lalu, kanak-kanak lelaki ini terpaksa menjalani enam pembedahan termasuk membuang air di dalam kepalanya.

Namun Nor Aliff Sazwan Mohd Asraf yang tinggal di Sungai Ular, di sini, langsung tidak menunjukkan kesakitan malah masih lagi mampu tersenyum.

Ibunya, Nur Fitrah Nor Faris, 21, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu sebelum ini aktif seperti kanak-kanak lain dan tidak menunjukkan tanda menghidap sebarang penyakit.

“Dia aktif, namun Nor Aliff Sazwan mula menunjukkan perubahan pada hari raya (Aildilfitri) ketiga apabila tiba-tiba demam seminggu.

“Selepas demam, dia mula menunjukkan perubahan apabila kelihatan seperti khayal malah mudah tertidur, ketika duduk pun dia boleh tidur.

“Jadi, saya membawanya ke Hospital Kemaman, Terengganu. Mulanya doktor menyangka ada selaput kuman di dalam otak, namun akibat keadaannya semakin teruk, doktor pindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya.

Katanya, ketika di HSNZ, doktor melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan mendapati ada ketumbuhan dalam kepalanya.

“Doktor memaklumkan perlu menjalani pembedahan segera bagi membuang cecair di situ,” katanya.

Nur Fitrah berkata, selepas itu, anaknya dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, dan menjalani lima lagi pembedahan di situ.

“Kini saya berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan tetapi doktor belum beri tarikh lagi,” katanya.

Menurutnya, sejak anaknya itu disahkan menghidap penyakit berkenaan, dia tidak lagi bekerja kerana menjaga dan menguruskan Nor Aliff Sazwan untuk bertemu pakar.

“Suami, Mohd Asraf Baharuddin pula hanya bekerja sebagai kelindan lori dengan gaji tidak seberapa.

“Saya amat mengharapkan bantuan orang ramai membantu rawatan anak. Saya juga amat mengharapkan anak saya sihat dan membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Nur Fitrah, 0611541000082641.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 5:57am
d