mutakhir

Myanmar pasang kawat penghadang di sempadan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Rohingya di Arakan mendakwa pihak berkuasa Myanmar memasang kawat penghadang di sempadan berhampiran Teknaf, usaha terbaru menghalang pelarian lari ke Bangladesh.

Aktivis Kerjasama Untuk Aktiviti Kemanusiaan (CHA) Salim Ullah berkata, dawai berkenaan mula dipasang sejak tiga hari lalu dan ia boleh dilihat dengan jelas dari sempadan di sebelah Bangladesh, menjadikan keadaan semakin mendesak ketika krisis masuk hari ke-12 hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat gabungan NGO di sana, ia mula dipasang di sekitar lokasi pelarian menuju ke Bangladesh sejak tiga hari lalu, namun dinafikan pihak berkuasa Myanmar.

"CHA juga terkejut dengan berita itu, namun kami mendapati ia benar-benar berlaku selepas dimaklumkan pelarian yang berada di kawasan itu.

"Sebelum ini, pelarian masuk menerusi laluan di tanah tidak bertuan berdekatan Waikong, Teknaf. Mungkin jumlah terlalu ramai menyebabkan Myanmar memasang halangan itu. Nasib pelarian di situ masih belum kami ketahui," katanya.

Siri operasi ketenteraan terbaru sejak 25 Ogos lalu menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh dan lebih 125,000 pelarian melarikan diri ke Bangladesh dan menunggu bantuan antarabangsa untuk meneruskan hidup.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 2:02pm
d