mutakhir

Empat diberkas bantu siasatan

Oleh Muhammad Apendy Issahak

EMPAT suspek diberkas bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang ditemui dengan kesan tikaman di perut di Jalan Meru Bestari A9, Meru Raya, Ipoh, petang semalam.

Semua lelaki berusia antara 28 hingga 50 tahun itu ditahan di sekitar Bukit Merah dan Ipoh pada 11 malam semalam hingga 2 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, susulan kes bunuh lelaki yang dikenali sebagai A R Rajeswaran, 44, berasal dari Sitiawan itu, pihaknya berjaya membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan.

"Tiga lelaki diberkas di kediaman sekitar Bukit Merah pada 11 malam semalam dan seorang lagi suspek berusia 30 tahun ditahan di pusat bandar pada 2 pagi.

"Polis turut merampas beberapa telefon bimbit bagi membantu siasatan kes yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, polis juga akan menjalankan siasatan dari semua aspek bagi mengetahui motif sebenar pembunuhan mangsa.

"Semua barangan peribadi mangsa tidak hilang termasuk dompet dan beg galas yang mengandungi pakaian mangsa.

"Polis akan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran tempat kejadian kerana lokasi mayat ditemui adalah rumah kedai baru yang belum beroperasi," katanya.

Katanya, polis menemui sebilah pisau di lokasi kejadian namun masih menjalankan siasatan sama ada ia adalah senjata pembunuhan atau bukan.

Harian Metro malam tadi melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman di perut di Jalan Meru Bestari A9, Meru Raya, Ipoh.

Polis menerima maklumat daripada orang awam pada 6.42 petang mengenai penemuan seorang lelaki ditemui terbaring di jalan berkenaan.

Berita berkaitan

'Ditemui mati dengan kesan tikaman'

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 4:39pm
d