mutakhir

Jeritan selamat nyawa anak

Oleh Safuri Kamarudin

"SAYA menjerit meminta tolong jiran menyelamat anak saya yang cacat ke tempat selamat selepas melihat air semakin naik dan memasuki rumah.

"Saya bimbang terperangkap kerana air Sungai Ketil naik mendadak dan memasuki rumah," kata Jamilah Che Morad.

Jamilah, 55, dari Kampung Batu Lapan, Mukim Siong berkata, hujan lebat selama tiga jam menyebabkan air sungai berkenaan melimpah ke rumah penduduk.

Katanya, dia menjerit meminta tolong jiran untuk menyelamat anaknya, Mohd Nasaruddin Rosdi, 19, yang terbaring kerana cacat kekal sejak lahir.

"Apabila air melimpah masuk dan terkena anak, saya cemas dan cuba mengangkatnya, tapi tidak terdaya.

"Saya keluar memanggil jiran dan mengusung anak keluar ke tempat selamat dan bersyukur kerana kejadian waktu petang dan tidak tahu kalau terjadi waktu malam," katanya ditemui di rumahnya.

Jamilah berkata, semua barangan di dalam rumahnya rosak kerana tidak sempat diselamatkan.

"Saya hanya fikir untuk selamatkan anak saja. Apa yang lebih penting nyawa dia yang tidak mampu mengurus diri," katanya.

Jirannya, Md Alawi Waleh, 62, berkata, ketika kejadian dia tidak ada di rumah dan banjir kilat itu paling teruk dalam tempoh dua tahun apabila air banjir naik satu meter menyebabkan semua barangan tidak dapat diselamatkan.

"Saya hanya mampu melihat rumah penuh dengan air dan tidak sempat menyelamat apa-apa barangan.

"Kalau saya ada di rumah sempat untuk membawa barang ke tempat selamat," katanya.

Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan Kampung Tanjung Pari, Batu Lapan, Telok Rambong, Batu 60 dan Bukit Sebelah membabitkan 30 rumah dilanda banjir.

Seketeriat Bencana Alam Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, hujan lebat di Mukim Siong selama tiga jam sejak jam 3 petang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke penempatan penduduk.

"Kita juga meminta penduduk berpindah sementara ke surau kerana air masih bertakung dan keadaan cuaca masih gelap dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini sekiranya air semakin naik," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 9:25pm
d