mutakhir

5,000 set saja, tidak dicetak semula [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

ISTIMEWA sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V pada 9 September ini, Pos Malaysia Berhad mengeluarkan siri setem edisi khas.

Siri setem itu akan menampilkan Baginda dan 14 bekas Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dan boleh didapati di 14 Pejabat Pos Besar seluruh negara pada 11 September.

Ketua Unit Filateli dan Setem Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata, siri setem itu akan dijual pada harga RM37.10 satu set.

"Setem ini istimewa kerana terdapat cetakan khas iaitu cetakan dakwat perak dan juga ada cop perak pada setem Sultan Muhammad V.

"Ia boleh didapati dalam satu set bersama bekas dan sampul khas yang memudahkan pengumpul setem menyimpan koleksi ini," katanya pada sesi pengenalan siri setem itu di Ibu Pejabat Pos Malaysia, hari ini.

Diyana Lean berkata, setiap satu setem 14 Yang di-Pertuan Agong terdahulu bernilai RM1 manakala setem Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bernilai RM5.

Set ini juga katanya istimewa kerana menampilkan tanda pembatalan dalam bentuk gong dengan tarikh 9 September 2017.

"Peminat setem perlu mendapatkan siri setem khas ini dengan segera pada 11 September ini kerana cetakannya sangat terhad iaitu 5,000 set saja.

"Set ini tidak akan dicetak semula sekiranya kehabisan stok dan hanya dijual di 14 Pejabat Pos Besar itu di negeri masing-masing," katanya.

Untuk rekod, edisi pertama siri setem edisi khas yang menampilkan 13 Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan pada 2002 dan siri kedua yang menampilkan 14 Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan pada 2012.

Selain di 14 Pejabat Pos Besar, set lengkap siri setem ini juga turut dijual secara dalam talian iaitu di www.eziemall.com.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 10:45pm
d