mutakhir

Arca dasar laut

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 menyaksikan peristiwa bersejarah apabila Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melancarkan logo rasmi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri pada tukun replika Bangunan Sultan Ibrahim di Pulau Mensirip, Mersing, 10 Oktober ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Adib Azhari Daud berkata, arca yang bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) itu menjadi titik mula serta gerak kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit ke arah Majlis Bandaraya.

Beliau berkata, idea dan ilham membina tukun replika Bangunan Sultan Ibrahim berukuran lebar 10.6 meter x 9.28 meter dan ketinggian lima meter serta berat 165 tan itu cetusan idea Sultan Ibrahim untuk diletakkan di dasar laut.

Adib yang dilantik menerajui PBT berkenaan sejak Februari lalu berkata, Sultan Ibrahim berada di dasar laut selama sejam bermula jam 9 pagi bagi Majlis Pengisytiharan Logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di tukun replika itu.

“Kadi Daerah Mersing akan membaca doa di dasar laut lima minit dan saya selaku Yang Dipertua MPJBT menyerahkan logo bulan dan bintang kepada Tuanku untuk diletakkan pada logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

“Baginda menandatangani plak perasmian diikuti sesi bergambar di dasar laut dan tinjauan di sekeliling arca sebelum naik ke permukaan,” katanya.

Katanya, mereka yang hadir boleh menyaksikan acara bersejarah itu yang dipancarkan secara terus menerusi kamera kalis air ke skrin LCD berdekatan lokasi itu.

“Tukun ini membabitkan lapan bahagian dan ia dibangunkan kakitangan MPJBT. Ia dibina bermula 7 Mei lalu dan siap pada 7 Julai.

“Pada masa sama, 11 penyelam juga menerima kalungan lesen Open Water Diving daripada baginda,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 6:46am
d