mutakhir

Sentiasa rai suara siswa

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Suara mahasiswa di negara ini tidak pernah dipinggirkan kerajaan, malah pendapat dan isu yang timbul sentiasa didengar dan diraikan dengan sebaik mungkin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedaya mungkin akan mencari jalan penyelesaian terbaik selepas menerima pandangan dan cadangan yang diberikan mahasiswa sebelum mencari titik persamaan.

“Dalam setiap perbezaan pendapat itulah kita perlu mencari intipati yang boleh diketengah kepenggunaannya. Malah, zaman atau era kerajaan betul atau tahu semua sudah berlalu.

“Bagaimanapun, dalam meraikan perbezaan pendapat ia haruslah ditangani dengan kebijaksanaan dan ketertiban,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2017 yang dipengerusikannya, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Susulan mesyuarat MPPK yang lalu, Ahmad Zahid berkata, antara tindakan diambil kerajaan termasuk memberi penekanan kepada aspek kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa demi pembentukan komuniti penyayang.

“Justeru, program Gap Year ditawarkan kepada mahasiswa bermula tahun ini bagi melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan.

“Program ini dijalankan dalam tempoh masa satu tahun bagi pelajar membuat refleksi dan penerokaan diri menerusi program kesukarelawanan, keusahawanan, bersukan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dalam usaha membantu masyarakat pedalaman Sabah dan Sarawak mempelajari kemahiran, GiatMARA sudah melakukan kajian rasionalisasi terhadap penawaran kursus di dua negeri itu bagi memberi kemudahan akses latihan selaras keperluan setempat.

“Program pengembangan kerjaya dan laluan peningkatan kemahiran di GiatMARA juga dilaksana secara kerjasama dengan pelbagai industri dan institusi latihan kemahiran.

“GiatMARA beroperasi di 31 kawasan Parlimen di Sarawak dan 27 kawasan Parlimen di Sabah. Ini membolehkan masyarakat setempat memanfaatkan penawaran latihan kemahiran,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 6:54am
d