mutakhir

Hercules Malaya

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Sungai Petani: Kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) lalu menggamit memori veteran tentera, Pegawai Waran Dua (PW 11 B) Ng Chow Seng, 82, yang juga bekas jaguh angkat berat negara.

Bekas anggota Kor Armor Diraja Malaysia (KADM) itu berkata, pengalaman manisnya ketika mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa kekal dalam ingatannya, malah dia berhasrat menabur bakti kepada negara dalam sukan biarpun makin dimamah usia.

Katanya, dia bukan mahu menunjuk-nunjuk atau tidak sedarkan diri atas faktor usia, tapi timbul kesedaran kemajuan negara tidak tercapai tanpa pengorbanan serta khidmat bakti rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan kaum.

“Saya memasuki Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1959 dan mula aktif dalam sukan angkat berat pada 1960.

“Selain dapat mengeratkan jalinan muhibah antara kaum, bidang sukan juga termasuk sukan angkat berat mampu melonjakkan imej negara di pentas dunia.

“Pernah mengharungi zaman susah ketika negara baru mencapai kemerdekaan mendorong saya bergiat serta aktif dalam sukan ini, seterusnya mendapat jolokan Badang atau Hercules berikutan sering meraih gelaran juara yang secara tidak langsung negara kita yang kecil ini dikenali di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Veteran ATM (PVATM) cawangan Sungai Petani, semalam.

Menurutnya, saat istimewa sepanjang pembabitannya dalam sukan berkenaan ialah pernah menjuarai dan memenangi pingat emas dalam kejohanan sukan angkat berat di Limsol Cyprus pada 2011, di Ukraine (2012), di Georgetown Pulau Pinang (2013) di Rovanieme Finland (2015), di Kumazawa Tokyo Jepun (2016) dan di Auckland New Zealand pada tahun ini, kategori veteran.

Beliau berkata, nasibnya menyerlah selepas bersara daripada ATM pada 1984 apabila meraih pingat gangsa empat tahun kemudian di kejohanan World Master Weighting Championship di Orlando Florida Amerika Syarikat.

“Selepas itu saya menyertai bermacam kejohanan peringkat global di merata tempat hinggalah pada 2011 saya meraih pingat emas dalam pertandingan IWF World Master Weighting Championship di Limasol, Poland,” katanya.

Ditanya apa ‘tonik’ digunakan hingga meraih kecemerlangan sebegitu rupa, Ng berkata, dia sentiasa berpegang teguh kepada prinsip serta etika kerja ketenteraan iaitu berani, berdisiplin dan tanamkan semangat patriotik dalam diri setiap kali menyertai pertandingan.

“Ketika dalam perkhidmatan, saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap sukan ini kerana perlu memberi komitmen lebih kepada tugas seharian, malah perlu mengiringi pasukan infantri iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan pasukan Renjer Diraja Malaysia (RDM) menaiki kereta perisai ke kawasan operasi dalam hutan di Grik, Perak, Bukit Kayu Hitam, Kuala Nerang dan Sintok di Kedah memburu komunis.

“Walaupun bersara, pasukan KADM dan PVATM sentiasa memberi sokongan moral apabila saya menyertai kejohanan di dalam mahupun di luar negara,” katanya.

Menurut Ng, seperti atlet lain, dia juga mempunyai pengalaman manis ketika mewakili negara dalam Sukan SEAP (Sukan SEA) pada 1961 di Rangoon Burma (Myanmar) apabila berpeluang berjabat tangan dengan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (ketika itu Menteri Belia dan Sukan).

Hasil perkongsian hidup bersama isteri, Chin Kim Hong, 81, mereka dikurniakan empat cahaya mata dan enam cucu dan kini menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 7:22am
d