mutakhir

Penilaian pelaburan Kompleks TH sedang dibuat

Oleh Nasharuddin Muhammad

LEMBAGA Tabung Haji (TH) sedang membuat penilaian pelaburan bagi pembinaan Kompleks TH di Makkah dan Madinah bagi menempatkan semua jemaah haji Malaysia dalam satu perkampungan pada masa akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah berkata, proses itu penting kerana projek berkenaan membabitkan jumlah pelaburan amat besar.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Arab Saudi di Makkah untuk bekerjasama bagi membangunkan projek berkenaan.

Menurutnya, kerjasama dengan syarikat berkenaan dibuat kerana ia mempunyai rekod yang baik dalam pelbagai projek pembinaan di Arab Saudi.

"Kita tidak memerlukan kompleks penginapan yang bertaraf lima bintang di Tanah Suci, sekadar tiga bintang pun sudah cukup.

"Paling penting ia mampu menampung jemaah antara 35,000 hingga 40,000 orang pada musim haji," katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia di ibu pejabat TH di Makkah.

Katanya, pihaknya juga perlu memikirkan penggunaan bangunan kompleks berkenaan secara optimum di luar musim haji, termasuk bagi menampung jemaah umrah.

Beliau berkata, ketika ini, TH mempunyai beberapa pelaburan dalam hotel di Tanah Suci yang mampu memberikan pulangan tetap secara mapan setiap tahun.

"Impian membina kompleks TH itu adalah untuk kebaikan jangka panjang kerana setiap tahun kos pengurusan haji sentiasa meningkat dan ia perlu ditangani.

"Justeru, amat praktikal sekali kalau kita mempunyai satu perkampungan Malaysia di Makkah dan Madinah.

"Di Makkah, lokasi yang dikenal pasti tidak lebih 500 meter dari Masjidilharam, manakala di Madinah, lokasinya sekitar 150 meter dari Masjid Nabawi," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 3:26pm
d