mutakhir

Lanun direman seminggu [METROTV]

Oleh Helmy Abd Rahman

LANUN yang ditahan ketika sedang merompak kapal tangki MT MGT1 di perairan Terengganu, semalam, direman tujuh hari bermula hari ini hingga 14 September.

Seramai 11 suspek termasuk lelaki berusia 59 tahun yang disyaki dalang aktiviti jenayah berkenaan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dengan dikawal ketat pasukan bersenjata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 11 pagi hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Abdul Latiff bagi membolehkan semua suspek disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.

Semalam, Harian Metro melaporkan kejayaan APMM menumpaskan kegiatan 13 lanun warga Indonesia yang melakukan rompakan ke atas sebuah kapal tangki di 37 batu nautika dari timur laut Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu.

Seramai 10 daripada suspek ditahan, bagaimanapun, tiga lagi meloloskan diri selepas Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM yang diterbangkan menggunakan AgustaWestland 139 (AW139) melepaskan beberapa das tembakan amaran dari udara selepas berjaya mengesan kedudukan kapal itu.

Susulan penahanan itu, PTK APMM menyerbu sebuah hotel di Johor Bahru semalam dan menahan warga Indonesia berusia 59 tahun dipercayai dalang utama rompakan berkenaan.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 4:52pm
d