mutakhir

Mati akibat tersimpul di jaring

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BANGKAI dugong jantan dijumpai terdampar di Pulau Sibu, Mersing, Johor, pagi semalam dengan keadaan kesan lebam di badan dan sekitar mulut dipercayai akibat tersimpul di jaring.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, bangkai itu ditemui penduduk kampung di pulau berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Johor mendapati dugong itu dianggarkan seberat 100 kilogram dan masih belum mencapai usia dewasa.

"Maklumat dari pihak penyelidik MarCet Dugong mendapati haiwan itu menjadi mangsa tersimpul di jaring, disebabkan ada kesan lebam jaring di badan dan sekitar mulut.

"Bangkai sudah ditanam di Pulau Tinggi, Mersing," katanya.

Ayub berkata, ini adalah kejadian kematian dugong yang kedua berlaku tahun ini.

Katanya, kejadian seumpama itu boleh menjejaskan usaha mewujudkan pusat Santuari Dugong Johor dan beliau menegaskan supaya semua agensi yang terbabit dapat mempercepatkan proses pewartaan dan menjalankan penguatkuasaan bagi mengurangkan isu berkenaan daripada terus berlaku.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi usaha pemuliharaan dugong di Johor dan mewujudkan pusat santuari itu.

"Kawasan perairan antara Pulau Besar, Pulau Rawa dan Pulau Sibu yang seluas 150,000 hektar dicadangkan untuk diwartakan bagi melindungi mamalia ini.

"Dianggarkan kurang daripada 100 ekor dugong mendiami kawasan yang dicadangkan ini dan mempunyai sumber makanan yang mencukupi dengan padang rumput laut yang besar.

"Kerajaan negeri akan melindungi dugong ini dan amat berdukacita atas kematian yang berlaku ini," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 5:00pm
d