mutakhir

Dua cubaan seludup hidupan liar dipatahkan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis hidupan liar bernilai RM1 juta menerusi dua serbuan di Sungai Siput, Perak dan Kota Bharu, Kelantan pada 26 Ogos dan Rabu lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaannya, Salman Saaban berkata, tangkapan pertama membabitkan lelaki Vietnam berusia lingkungan 30 tahun di Tanah Rancangan Penempatan Orang Asli Legap, Sungai Siput, Perak.

“Jabatan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai organ haiwan termasuk kuku, taring dan tanduk pelbagai hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas 188 kuku beruang matahari, 21 taring beruang jenis sama, 17 kuku harimau belang, lapan taring harimau, satu tanduk rusa dan beberapa taring dan kuku hidupan liar lain.

Katanya, serbuan itu dijalankan hasil maklumat Orang Asli yang menemui kesan jerat di hutan dan suspek ditahan sebelum keluar dari kawasan itu.

"Suspek dipercayai ahli sindiket dari Vietnam yang pernah ditahan di Taman Negara, Pahang sebelum ini dan sindiket ini mendapat bantuan rakyat tempatan dalam operasi haram mereka, " katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan Rabu lalu di Kampung Terap Banggu, Kota Bharu, pihaknya merampas sebanyak 1, 214 kura-kura katup selepas menyerbu sebuah rumah tinggal yang dijadikan stor sementara.

"Kami turut merampas 219 kura-kura baning, 86 biawak dan 60 kotak yang mengandungi pelbagai jenis ular berbisa seperti tedung selar dan senduk.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan ini berikutan tiada suspek ditemui dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti pemilik premis dan hidupan liar itu, " katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar tanpa lesen dan permit khas.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 6:55pm
d