mutakhir

Banyak pokok tumbang, bumbung rosak

Oleh Safuri Kamarudin dan Nordiana Shafiee

RIBUT dan hujan lebat melanda Kedah khasnya di Kota Setar dan Baling mengakibatkan banyak pokok tumbang di sekitar bandar dan taman perumahan serta mengganggu lalu lintas hari ini.

Angin kencang dan hujan lebat selama sejam bermula jam 4.30 petang menumbangkan pokok di Kilometer 43 Lebuhraya Utara Selatan (utara) dari Alor Setar ke Hutan Kampung.

Berikutan itu, laluan masuk ke Plaza Tol Alor Setar (utara) ditutup sementara sehingga kerja pembersihan dilaksanakan.

Kejadian ribut turut menyebabkan kerosakan pada bumbung beberapa rumah penduduk di Flat Setia Jaya Blok F, Alor Setar.

Selain itu, sebuah papan iklan besar di satu persimpangan utama di bandar Kota Setar turut runtuh sementara beberapa kenderaan penduduk rosak ditimpa pokok namun tiada kecederaan dilaporkan.

Tinjauan di Taman Nuri, Alor Setar mendapati dua kereta dan sebuah motosikalrosak apabila garaj di sebuah rumah penduduk runtuh ditimpa pokok.

Menurut penghuninya, Rodziah Abdullah, 57, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga lain sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi kuat di luar.

"Saya bergegas keluar untuk melihat dan terkejut mendapati kereta Perodua Alza saya bersama Honda City dan motosikal Honda milik jiran sudah dihempap dengan bumbung zink garaj berkenaan.

"Bantuan daripada JPAM tiba pada jam 5 petang yang membantu mengalihkan kenderaan," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang ibu yang masih berpantang, Norhafizah Said,25, trauma apabila hujan dan ribut melanda rumahnya di Kampung Tanah Periok, Kupang, Baling jam 5 petang tadi.

Hujan lebat disusuli ribut selama 30 minit menyebabkan dia yang sedang menyusu anak berusia 38 hari, Adam Rizki Ashraf terkejut tiba-tiba bumbung rumahnya diterbangkan angin.

Menurut abangnya, Mohd Hafizul, 33, dia terkejut apabila melihat adiknya menjerit dan berlari ke dapur sambil membawa bayi.

"Saya menenangkan adik kerana dia masih berpantang dan bimbang berlaku perkara buruk," katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, Azhar Othman.

Katanya, adiknya masih sugul dan enggan berbual kerana terkejut dengan kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian ibu dan bapanya, Said Ismail,63, dan Saleha Lahman, 54, keluar ke Pekan Baling.

"Angin sepintas lalu menyebabkan bumbung rumah diterbangkan angin 50 meter dan semua perkakas dan barangan di ruang tamu rosak," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, dalam kejadian itu 18 kampung dalam Mukim Kupang dan dua kampung di Mukim Tawar dilanda ribut.

Beliau berkata, daripada jumlah itu lebih 150 mangsa yang terjejas dengan bencana itu.

Menurutnya, antara kampung yang terbabit Kampung Bekakang Panggung Kupang, Lela, Pekan Kuala Pegang, Chenerai, Landak Hilir, Padang Cina, Tanah Periok, Pekan Kupang, Banggol Chicar, Taman Seri Harapan, Taman Mesra, Telok Petata, Padang Dan, Gua Reban, Kampung Tengah dan Telok Durian manakala di Mukim Tawar membabitkan Kampung Setol dan Taman Sheikh Fadzir.

"Bagaimanapun setakat ini tidak ada kemalangan dilaporkan dan jumlah kerugian belum diketahui.

"Peringkat awal bantuan segera disalurkan kepada mangsa yang terbabit," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 11:47pm
d