mutakhir

[UPDATE] Bukan aktiviti rasmi

Oleh Muhamaad Razis Ismail dan Kamal Majid

ROMBONGAN 34 penuntut Politeknik Jeli ke air terjun Lata Janggut, Jeli bukan aktiviti rasmi dan tidak dimaklumkan kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.

Timbalan Pengarahnya, Mahazari Mohd Zain berkata, rombongan semua penuntut itu diatur sendiri penuntut terbabit tanpa pengetahuan pihak politeknik.

Katanya, dia difahamkan majoriti penuntut semester satu diploma akuakultur yang ke kawasan berkenaan turut mengambil sampel air untuk menyiap tugasan diberikan pensyarah.

"Penuntut di sini dibenarkan keluar pada setiap hujung minggu untuk ke bandar berhampiran dan perlu pulang semula pada petang.

"Mereka ini mendapat kebenaran untuk keluar namun tidak memaklumkan mahu pergi Lata Janggut. Aktiviti ini bukan aktiviti rasmi politeknik dan tiada permohonan dibuat.

"Saya dimaklumkan kejadian itu pada 10.30 pagi, sebelum pihak politeknik bergegas ke lokasi kejadian sebelum pihak politeknik ke lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di bilik mayat di Hospital Jeli.

Katanya, pihaknya membantu menguruskan semua jenazah penuntut terbabit termasuk Putra Izzad Iskandar yang yang ahli keluarga berada di Melaka.

"Pada masa yang sama kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Laporan penuh akan dihantar kepada Ibu pejabat politeknik untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, penuntut Mohd Danish Mirza Sulaiman, 18, berkata, mereka bergerak ke air terjun itu 8.30 pagi dengan beberapa kereta sewa.

Katanya, perancangan sudah dibuat sejak seminggu lalu dan sepatutnya pergi ke kawasan air terjun esok namun diawalkan kerana tugasan perlu dihantar pada 20 Ogos depan

"Selepas mengambil sampel air, kami mandi sebelum Muhamad Farid dan Putra Izzad secara tiba- tiba terjerlus sebelum ditarik pusaran air.

"Ikram yang cuba menolong turut lemas dan kami cuba membantu namun gagal kerana kejadian berlaku terlalu cepat," katanya.

Berita berkaitan:

3 penuntut lemas

Minta ibu simpan gambar passport

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 12:11am
d