mutakhir

Denda RM20,000 jual baju tiruan

Oleh HM Digital

Melaka : Seorang ahli perniagaan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan menjual pelbagai jenis pakaian berjenama tiruan, tahun lalu.

Tertuduh Chan Yik Kwan, 36, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemilik perniagaan Simply Gifts di Dataran Pahlawan, di sini, melakukan dagangan palsu dengan menjual 323 baju serta 51 seluar berjenama Adidas, jam 6 petang, pada 22 September 2016.

Manakala pertuduhan kedua, Chan didakwa menjual 31 baju, 10 seluar dan 121 gelang kunci jenama Chelsea palsu pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Justeru, Chan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan perihal dagangan palsu atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 7:51am
d